PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan saman difailkan ibu kepada model Belanda, mendiang Ivana Esther Robert Smit terhadap Ketua Polis Negara dan tiga yang lain dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi untuk didengar.
Tuntutan saman itu difailkan Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen dengan menamakan Ketua Polis Negara; Pegawai Penyiasat Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Faizal Abdullah; Menteri Dalam Negeri; dan kerajaan Malaysia dengan mendakwa mereka melanggar kewajipan statutori dan cuai dalam siasatan bagi menentukan punca kematian anak perempuannya.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Yaacob Md Sam bersama-sama Datuk Supang Lian dan Datuk Ghazali Cha membuat perintah itu selepas sebulat suara membenarkan rayuan Verstappen.
Peguam Datuk SN Nair yang mewakili Verstappen ketika dihubungi media, berkata panel hakim membenarkan rayuan anak guamnya tanpa membuat sebarang perintah berhubung kos.
Pada 21 April tahun lalu, Mahkamah Tinggi membatalkan saman Verstappen atas alasan penyataan tuntutannya tidak mematuhi Perintah 18, Peraturan 7 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
Verstappen, 58, memfailkan saman itu pada 20 November 2020 dengan menamakan Ketua Polis Negara, Faizal, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.
Dalam penyataan tuntutan, Verstappen berkata, anak perempuannya yang berusia 18 tahun itu ditemukan maut di tingkat enam Cap Square Residence di sini pada 7 Disember 2017, selepas jatuh dari tingkat 20 unit kondominium milik pasangan Amerika iaitu Alex Johnson dan Luna Almazkyzy.
Beliau berkata, defendan membuka kertas siasatan mengikut laporan kematian mengejut pada 7 Disember 2017 dan menutup kes itu, selepas merumuskannya sebagai mati mengejut atau bunuh diri.
Verstappen berkata, beliau tidak boleh menerima rumusan itu kerana perkara itu amat sukar dipercayai dan terkejut dengan tindakan defendan yang hanya membuka kertas siasatan mengikut laporan kematian mengejut.
Susulan itu, Verstappen mendakwa tindakan defendan ialah perlanggaran jelas prosedur operasi standard (SOP) dan amalan terbaik dalam siasatan polis.
Beliau berkata, Jabatan Peguam Negara kemudian mengarahkan satu inkues diadakan bagi menentukan punca kematian anaknya dan pada 8 Mac 2019, Koroner Mahyon Talib memutuskan kes itu sebagai satu ‘insiden malang.’
Tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Koroner, Verstappen mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan pada 22 November 2019, Hakim Collin Lawrence Sequerah mengetepikan keputusan Mahkamah Koroner serta menggantikannya dengan ‘kematian yang disebabkan seorang individu atau beberapa individu yang tidak dikenali’ dan memerintahkan Peguam Negara mengarahkan polis memulakan siasatan.
Beliau mendakwa defendan gagal atau cuai dalam menjalankan kewajipan statutori mereka secara sengaja atau sebaliknya dan melanggar kewajipan statutori mereka terhadap mangsa serta plaintif.
Verstappen mendakwa polis melakukan kecuaian apabila gagal menutup lokasi kejadian, menyita barang peribadi mangsa, mengumpul bukti serta gagal menjalankan siasatan sewajarnya terhadap Johnson dan Almazkyzy.
https://www.bharian.com.my/amp/berita/kes/2022/02/919900/saman-ibu-mendiang-ivana-dikembalikan-semula-ke-mahkamah-tinggi